Perjalanan Dengan Kereta Semasa Hamil

Anda tak selesa memakai talipinggang keledar semasa hamil? Adakah perjalanan dengan kereta semasa hamil adalah selamat? Apa langkah-langkah keselamatan yang perlu anda ambil untuk memastikan anda dan bayi selamat sampai ke destinasi? Perjalanan dengan kereta biasanya adalah selamat, namun anda perlu pastikan langkah-langkah keselamatan di bawah dipatuhi:

- Sentiasa pakai talipinggang keledar semasa dalam perjalanan.

- Gunakan kedua-dua talipinggang di bahu dan bawah perut.

- Jangan letakkan talipinggang keledar di lengan atau belakang anda.

- Biarkan beg udara berfungsi.

- Pastikan keadaan kereta adalah selamat.

- Perjalanan seelok-eloknya semasa cuaca dan jalan dalam keadaan baik.

- Anjakkan kerusi anda ke belakang sejauh yang mungkin, dengan kaki masih boleh mencecah pedal brek dan minyak. Jarak dada dengan stereng atau dashboard sekurang-kurangnya 10 inci.

- Jika anda terlibat dalam kemalangan, terus berjumpa doktor untuk melakukan pemeriksaan walaupun ianya kemalangan kecil, lebih-lebih lagi jika usia kandungan lebih 6 bulan.

- Berhenti untuk meluruskan kaki lebih kurang dua jam sekali untuk perjalanan jauh untukmengelakkan masalah kaki bengkak atau urat timbul.

- Jika anda tidak memandu, duduk di kerusi belakang kereta adalah lebih selamat.
Pastikan pemandu anda memandu secara selamat.

Supaya lebih selamat:

- Elakkan perjalanan terlalu jauh jika boleh. Menaiki kapalterbang lebih selamat.

- Kurangkan masa anda berada dalam perjalanan.

- Aturkan supaya orang yang melawat anda bukan sebaliknya.

- Cuba untuk ambil kenderaan awam yang selamat seperti keretapi atau komuter